Pokok Stevia @ Pokok Gula
Stevia merupakan genus yang terdiri daripada 150
spesies herba daripada keluarga bunga matahari (Astereacea). Di Malaysia
ia juga digelar sebagai Pokok Gula kerana dipercayai dapat mengurangkan
kencing manis. Stevia yang digunakan secara meluas sebagai pemanis
ialah stevia dari Spesis Rebaudiana. Ia juga dikenali sebagai
sweetleaf, sugarleaf ataupun sweet herb.
Ia merupakan
sejenis tumbuhan herba berbatang lembut.
Untuk menanamnya, medium yang digunakan ialah dari jenis poros supaya
tiada air yang akan bertakung selepas ia disiram.Tumbuhan ini memerlukan
air yang mencukupi dan perlu disiram 2 kali sehari dalam cuaca panas.
Ia akan cepat kering dan mati jika kekurangan air. Daunnya berbentuk
bujur. Batangnya halus dan bergerutu. Dalam keadaan optimun stevia boleh
mencapai ketinggian sehingga 1 meter atau lebih. Ia mengeluarkan bunga
kecil berwara putih. Bentuk bunganya menyerupai bunga-bunga aster yang
lain, cuma saiznya kecil. Bunga ini akan menghasilkan biji benih apabila
matang. Pembiakan selalunya menggunakan keratan batang. Keratan
batangnya mudah mengeluarkan akar. Walaupun ia boleh juga membiak
menggunakan biji benih, namun kadar percambahan biji benihnya amat
rendah sehingga ia jarang dibiakkan dengan menggunakan biji benih.
Bahan aktif yang bertanggungjawab ke atas rasa manis
pada daun stevia dikenali sebagai steviol glycosides yang mengandungi
stevioside dan rebaudioside. Bahan aktif ini stabil pada suhu tinggi,
nilai pH yang stabil dan tidak merangsang tindak balas glycemic,
menjadikan ia semakin digemari orang ramai terutamanya untuk yang ingin
menghadkan pengambilan karbohidrat dan mengelakkan diabetes. Selain itu,
stevia juga didapati boleh merawat tekanan darah tinggi, mengurangkan
tahap asid urik dan obesiti.
Stevia telah digunakan sebagai pemanis semulajadi oleh
masyarakat di Brazil dan Paraguay sejak beratus-ratus tahun dahulu
lagi. Ia mula digunakan oleh kaum Red Indian Guarani di Paraguay sejak
1500 tahun yang silam. Ia digunakan terutamanya untuk memaniskan teh
herba mereka. Selain daripada itu ia juga digunakan untuk memaniskan
makanan mereka. Mereka juga menggunakan Stevia sebagai penawar
terutamanya untuk menurunkan tekanan darah tinggi, melawaskan kencing
dan merawat luka terbakar.
Kegunaan stevia sebagai pemanis mula disedari oleh
orang Eropah pada kurun ke-16. Sejak itu ia mula digunakan dengan meluas
di Eropah sehinggalah dibawa ke Asia. Walaubagaimanapun kajian terhadap
Stevia hanya mula dilakukan pada awal kurun ke 19 apabila para pengkaji
di Brazil mendengar cerita yang sehelai daun stevia boleh memaniskan
sebiji buah peria dan juga secawan teh herba yang kelat.
Ciri paling unik mengenai Stevia ialah ia merupakan pemanis
semula jadi yang tidak mengandungi kalori. Di percayai secara
tradisional, stevia mengandungi sifar kalori, lemak, kolestrol, gula dan
karbohidrat. Ekstrak stevia dikatakan 300 kali lebih manis dari gula
biasa. Ciri ini telah menarik minat para pengkaji untuk menjalankan
kajian terhadap Stevia. Kajian terhadap kandungan toksidnya, mendapati
kandungan utama yang menyebabkan ia manis iaitu Steviosid tidak toksid.
Ia juga didapati tidak menyebabkan mutasi sel, ia juga tidak memberi
apa-apa kesan terhadap kesuburan. Walaubagaimanapun terdapat konflik
terhadap kajian kesuburan yang dikaitkan dengan Stevia. Satu kajian
mendapati ia tidak memberi apa-apa kesan terhadap kesuburan, manakala
satu kajian lain mendapati air yang diekstrak daripada daun stevia
didapati menurunkan paras testostron dan bilangan sperma bila diuji pada
tikus jantan.
Kajian saintis Brazil pada tahun 1991 mendapati
Steviosid berkeupayaan untuk menurunkan tekanan darah pada tikus.
Daripada penemuan ini, satu lagi ujian dilakukan pada tahun 2000. Kali
ini subjeknya merupakan 106 orang berbangsa Cina (lelaki dan perempuan)
yang mengalami penyakit darah tinggi. 60 subjek diberikan kapsul yang
mengandungi 250mg steviosid 3 kali sehari. Pemeriksaan terhadap subjek
dilakukan sebulan sekali selama satu tahun. Selepas 3 bulan , tekanan
darah sistolik dan diastolik telah menurun dengan ketara dan kesannya
berkekalan sepanjang tahun. Hasil dari kajian ini saintis merumuskan
steviosid yang diambil secara oral adalah berkesan untuk
menurunkan tekanan darah
dan ia mungkin boleh dipertimbangkan sebagai bahan altenatif atau
suplemen untuk pesakit darah tinggi. Satu kumpulan saintis lagi
melakukan ujian terhadap kesan hipoglisemik glikosid yang terdapat dalam
stevia. Mereka juga mengkaji kesan terhadap pengeluaran glukos terhadap
glikosid, steviol, isosteviol dan glukosilsteviol. steviol didapati
tidak menghasilkan glukos. Pada tahun 2000 juga, para pengkaji di
Denmark telah menjalankan satu kajian yang menunjukkan tindakan
hipoglisemik in vitro yang dilakukan oleh steviosid dan steviol adalah
hasil daripada keupayaan kedua-duanya menghasilkan insulin melalui
tindakan terus terhadap sel-sel beta. Mereka merumuskan hasil kajian
mendapati sebatian ini mungkin mempunyai potensi untuk menjadi agen
anti-hipeglisemik dalam rawatan diabetes mellitus jenis 2.